Pengenalan

         Pengenalan

      Persatuan Ibu Tunggal dan Anak Yatim Mutiara Kasih ini ditubuhkan bertujuan untuk membela nasib anak-anak yatim yang tinggal bersama ibu masing-masing di sekitar kawasan Seksyen U6, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan disamping menolong ibu-ibu tunggal yang kurang bernasib baik dengan memberi sokongan moral kepada mereka supaya mereka dapat membina semula kehidupan dengan lebih baik dan sempurna.

    Berbeza dengan anak-anak yatim yang tinggal di rumah kebajikan, anak-anak ini kurang mendapat perhatian di sebabkan kesukaran pihak-pihak yang ingin menghulurkan bantuan hendak berhubung dengan mereka. Dengan adanya Persatuan ini, ibu-ibu tunggal berpeluang untuk berkongsi masalah yang dihadapi  dan pihak Persatuan akan cuba sedaya upaya untuk membantu.

     Maka dengan wujudnya Persatuan  ini, kami berharap dapat menghubungkan ibu -ibu yang memerlukan bantuan dengan pihak-pihak berwajib supaya masalah mereka dapat ditangani dengan segera. Ibu-ibu ini kebanyakkannya tidak mendapat bantuan dari mana-mana badan kebajikan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat atau pun Pusat Zakat walaupun mereka telah membuat permohonan.

        Ada ibu-ibu yang bekerja cuma mengambil upah mengasuh anak disebabkan masalah kesihatan yang membataskan mereka untuk keluar mencari kerja yang lebih baik dan berpendapatan tetap. Dan jika anak asuhan mereka adalah anak cikgu, maka musim cuti sekolah mereka tidak akan mempunyai pendapatan memandangkan guru-guru turut bercuti. Bayangkan kesempitan hidup mereka yang perlu menyediakan kelengkapan untuk anak-anak memulakan persekolahan.

       Bagi sebilangan besar ibu -ibu ini, kehidupan tetap diteruskan seperti biasa. Dengan kecekalan dan semangat untuk mendidik sendiri anak-anak tanpa perlu meminta bantuan dari orang lain, ibu-ibu ini rela bekerja lebih masa untuk memperuntukkan keperluan yang secukupnya demi anak-anak tercinta. Biar susah sekalipun, mereka tetap mahukan anak-anak membesar di depan mata.

        Objektif

         Antara objektif-objektif utama Persatuan ini ditubuhkan ialah:~

        1.     Membela nasib ibu-ibu tunggal yang teraniaya dan miskin serta kurang bernasib baik bagi meningkatkan taraf hidup mereka.            
        
        2.     Memupuk semangat gigih bagi membolehkan ibu tunggal menghadapi sebarang cabaran.

        3.     Menyatupadukan ibu tunggal daripada semua peringkat tanpa mengira bangsa dan agama.

         Prinsip

      Prinsip Persatuan ialah untuk menjadi satu tempat bernaung di bawah satu nama di mana setiap ahli mempunyai ikatan kasih sayang dan kekeluargaan yang tinggi di antara satu sama lain. Kasih sayang yang dijalinkan menaungi  sesiapa saja yang memerlukan bantuan, perhatian dan juga pembelaan. Dengan wujudnya persatuan ini, diharap menjadi penghubung bagi golongan yang susah dan yang memerlukan bantuan  dengan para dermawan di luar sana.

     Bukan itu saja, pihak persatuan berharap dapat menjana minda ibu-ibu ini menjadi lebih positif dan bersemangat untuk meneruskan kehidupan dan mampu mengubah nasib diri, keluarga dan masyarakat disamping dapat memperbaiki prestasi diri dengan lebih cemerlang.

      Kepada ibu-ibu yang beragama Islam khasnya, pihak Persatuan menerapkan prinsip-prinsip berikut :~

           1.    Sentiasa bersyukur dan redha dengan nasib yang ditakdirkan ke atas diri masing-masing dan tidak menyesali takdir yang ditentukan Allah kerana ujian Allah itu menunjukkan kita berada di dalam kasih sayang dan perhatianNya.  

           2.    Sentiasa mendekatkan diri dengan Allah dan yakin bahawa hanya Dia sebaik-baik Pembela dan Pemberi pertolongan dan Amat Pengasih lagi Mengasihani kepada semua makhlukNya.
               
           3.    Sentiasa berkerjasama dalam memotivasikan diri agar fikiran menjadi lebih optimis untuk   membina kejayaan di masa hadapan.
          
           4.    Sentiasa peka bahawa ada lagi orang yang nasibnya lebih malang dari diri kita dan sensitif dengan kesusahan orang dan turut bersedia untuk membantu sedaya mungkin.



















               

No comments:

Post a Comment