Saturday 24 November 2012

Majlis Meraikan Anak Yatim 10 Muharram 1434


Pada 10 Muharram 1434H, Masjid At Taqwa Subang Permai telah mengadakan Majlis untuk meraikan anak-anak yatim sempena Hari Asyura. Anak-anak ini dijemput untuk mendengar ceramah bervisual berbentuk animasi bertajuk Agar Ibadah Diterima. Anak-anak ini juga mendapat sumbangan wang tunai dari individu dan pihak masjid serta  pelbagai bentuk cenderahati.



     Anak-anak memberi tumpuan mendengar ceramah.




Anak-anak berbaris untuk bersalaman dengan AJK Masjid dan individu terlibat dan menerima sumbangan dan cenderahati.






Keseronokan melihat isi beg cenderahati masing-masing.




Di antara barangan yang diterima termasuk alatulis, bekas minuman Tupperware, Kismis Minda, Vitamin Champs dan lain-lain lagi.

Terimakasih bagi pihak Masjid At-Taqwa yang setiap tahun tidak pernah lupa untuk menjemput anak-anak ini untuk diraikan. Semoga mereka-mereka yang terlibat sentiasa mendapat Keberkatan Rezeki yang Baraqah dan Nikmat Kasih Sayang Allah setiap masa dan ketika.


Friday 23 November 2012

Hari Asyura


     Hari Asyura ialah hari yang ke sepuluh dalam bulan Muharram . Hari ini adalah hari yang sangat afdhal bagi kita umat Islam untuk berpuasa sunat selepas bulan Ramadan dan Hari Arafah. Puasa di Hari Asyura menghapuskan dosa setahun. Ini adalah merupakan anugerah dari Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang seringkali lalai dan alpa dan sering terdedah kepada silap dan salah. Allah menjadikan hari tersebut sebagai sebab untuk hamba-hambaNya memohon keampunan terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan dan bertaubat. Mereka yang berpuasa juga beroleh pahala yang berlipatganda sebagaimana sabda Rasulullah SAW;

     " Barangsiapa yang berpuasa pada Hari Asyura (10 Muharram) maka Allah SWT akan memberi kepadanya pahala 10,000 Malaikat dan barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah dan 10,000 pahala orang mati syahid. Dan barangsiapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah SWT akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat. Dan barangsiapa yang memberi makan kepada orang Mukmin yang berbuka puasa  pada Hari Asyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh umat Nabi Muhammad SAW yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka". [HR Ibnu Abbas ra]

     Terdapat perbezaan pendapat di antara para Ulama' berkaitan puasa sunat sama ada puasa pada hari ke 9 atau ke10. Pendapat sebahagian Ulama', sunat berpuasa hari ke9, hari ke10 dan hari ke11 berdasarkan hadis;

    "Berpuasalah kamu di Hari Asyura dan kamu bezakanlah dengan amalan orang-orang Yahudi. Oleh itu berpuasalah sehari sebelumnya dan sehari selepasnya". [HR Ahmad]

    Pendapat sebahagian lagi Ulama' ialah sunat berpuasa pada kedua-dua hari ke9 dan ke10 bulan Muharram berdasarkan hadis;

     "Pada hari Rasulullah SAW berpuasa Hari Asyura (hari ke10), para Sahabat berkata;' Ya Rasulullah, ia adalah hari yang disambut oleh orang-orang Yahudi dan Kristian, lalu Rasulullah SAW bersabda,'Tahun depan insyaAllah kita akan berpuasa pada hari ke9 jika aku masih hidup'. Sebelum tiba tahun depan, Rasulullah SAW wafat".

      Oleh itu, Imam Syafie ra, Ahmad dan sebahagian Ulama' berpendapat adalah sunat berpuasa pada kedua-dua hari ke9 dan ke10 agar tidak menyamai Yahudi dalam meraikan hanya satu hari saja. Adalah lebih afdhal berpuasa dikedua-dua hari sebagai langkah berhati-hati agar tidak terlepas kelebihan puasa Hari Asyura.

       Oleh itu, dengan kesibukan masa yang ada, kita terkadang  terlupa untuk menunaikan ibadat sunat ini. Mudah-mudahan tahun ini Allah beri kita kesempatan untuk berpuasa 10 Muharram. Selamat menyambut Hari Asyura dan semoga beroleh kenikmatan di dunia  dan akhirat.

Tuesday 20 November 2012

Rezeki Yang Berkat


      Sebagai seorang hamba Allah, kita semua mahukan rezeki yang murah dan berkat. Untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenar-benarnya, kuncinya ialah membuat amalan-amalan taqwa. Amalan-amalan inilah yang menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah lalu Dia melimpahi setiap hamba-hambaNya yang bertaqwa dengan keluasan rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.

Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa saja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi Rezeki. [Saba' : 39]


Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu;" Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".[Ibrahim:7]


Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun dan bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. [TaHa : 132]

Sesiapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya [HR Abu Ya'ala ,at-Tabrani, al-Asybahani & al-Hakim]

Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua ibu bapanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya. [HR al-Hakim & ad-Dailami]

Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu. [HR Bukhari]

Allah Ta'ala membantu umat ini hanyalah sebab orang-orang lemah mereka, sebab doa mereka, solat mereka dan ikhlas mereka. [HR an-Nasaie]

Firman Allah dalam Hadith Qudsi ; "Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha),nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya. [HR al-Hakim & Thabrani]


Doa Waktu Dhuha

اَللَّهُمَّ إِنَّ الضُّحَاءَ ضُحَاؤُكَ، وَالْبَهَاءَ بَهَاؤُكَ، وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ، والْقُوَّةَ قُوَّتُكَ، والْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ، وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ، اَللَّهُمَّ إنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي السَّمَاءِ فَأنْزِلْهُ، وَإِنْ كَانَ في الأَرْضِ فَأَخْرِجْهُ، وَإِنْ كَانَ مُعَسِّرًا فَيَسِّرْهُ، وَإِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ، وَإِنْ كَانَ بَعِيدًا فَقَرِّبْهُ، بِحَقِّ ضُحَائِكَ 
وَبَهَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ، آتِنِيْ مَا آتَيْتَ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ.

Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu dhuhaMu, Kecantikannya kecantikanMu, 
Keindahannya keindahanMu, Kekuatannya kekuatanMu, Kekuasaannya kekuasaanMu, 
Perlindungannya perlindunganMu.
Ya Allah, Jika rezeki masih di langit turunkanlah, Jika di bumi keluarkanlah, 
Jika sukar permudahkanlah, Jika haram sucikanlah, Jika jauh dekatkanlah.
Berkat waktu Dhuha, KecantikanMu, KeindahanMu, KekuatanMu, KekuasaanMu
Limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan, kepada hamba-hambaMu yang soleh.

"Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah sebelum kamu mati. Bersegeralah melakukan amalan-amalan soleh sebelum kamu kesibukan dan hubungilah antara kamu dengan Tuhan kamu dengan membanyakkan sebutan (zikir) kamu kepadaNya dan banyak bersedekah dalam bersembunyi dan terang-terangan, nanti kamu akan diberi rezeki, ditolong dan diberi kesenangan". [HR Ibnu Majjah]



Tahsin Solat Di Kem ABC, Janda Baik



Kursus Tahsin Solat selama dua hari di kem ABC , Kampung Sungai Lurah,Janda Baik ditaja oleh hamba Allah yang dermawan... Alhamdulillah.

  Di sini anak-anak ini di ajar cara menunaikan solat dengan betul. Belajar rukun-rukun solat, bacaan  tajwid yang betul, berwudhu', bertayamum dan aktiviti-aktiviti lain yang menyeronokkan di ketuai oleh Ustaz Nas Omar atau dikenali dengan nama Cikgu Nas.

       Hari pertama, selesai solat Asar, masing-masing  tidak sabar untuk mandi dan berenang di dalam sungai. Mujur cuaca cerah, dapat lah anak-anak ini berendam sepuas-puasnya. Bukan saja anak yang turun mandi, ibu-ibu juga tidak melepaskan peluang ini, bersama menikmati kesejukan air sungai sambil memerhati dan mengawasi anak-anak ini.






Bergambar beramai-ramai selepas mandi dan menikmati ais krim yang dibelanja oleh Ustaz Shuhaimi... Makin bertambah sejuk masing-masing.. :)


  Aktiviti waktu malam, selepas tazkirah dan solat Isya', ibu-ibu menyediakan barbecue ayam, ikan, frankfurter, coleslow, kentang goreng,kuih muih dan buah-buahan.                    




Hari kedua, selesai solat Subuh, anak-anak diberi tazkirah. Selepas sarapan pagi, masing-masing terus meluru ke sungai. Pagi yang sejuk lansung tidak dihiraukan. Masing-masing seronok nak menikmati kesejukan air sungai.


 Selesai kursus, bergambar dengan Cikgu Nas.



    Sungguh seronok, disamping belajar, anak-anak dapat berhibur sambil merehatkan minda sebelum bermula sesi persekolahan baru tahun hadapan. InsyaAllah, doa kami semua semoga hamba Allah yang terlibat diberikan rezeki berlipat kali ganda dan dapat meraikan anak-anak ini lagi di masa hadapan... :)

Monday 19 November 2012

3 Amal Yang Pahalanya Tidak Terputus



     Allah  telah menjanjikan pahala bagi mereka yang sentiasa beriman & bertaqwa kepadaNya dengan  menjanjikan jaminan Syurga dan memberikan dosa dan api Neraka kepada mereka yang mengingkari segala perintah dan laranganNya.

    Apabila kita kembali mengadap Illahi, segala amalan kita di dunia akan terputus melainkan 3 amalan sahaja yang masih diterima Allah sebagai pahala kita di Akhirat nanti meskipun jasad kita sudah pun meninggalkan dunia yang fana' ini. Amalan-amalan tersebut adalah :-
  • Amal jariyah
  • Ilmu yang bermanfaat
  • Anak soleh yang mendoakan kedua ibu & bapanya

     Alhamdulillah, betapa tingginya nilai Rahmat dan Kasih Sayang Allah terhadap hamba-hambaNya. Masih diberi kita peluang memperolehi pahala meskipun kita sudah berada di alam Barzakh. Jadi, selagi hayat masih ada, rebutlah peluang keemasan ini.


  • Amal Jariyah~ satu perbuatan yang baik juga disebut waqaf iaitu menahan sesuatu yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan kemaslahatan serta kekal zatnya sebagai pendekatan diri terhadap Allah SWT. 
Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. ['Ali 'Imran : 92]

     Amal jariyah merupakan amalan yang terpuji di sisi Allah. Di antaranya ialah membina masjid, surau, sekolah, mewaqafkan al Quran, kitab-kitab Agama dan apa jua perkara yang memberi manfaat kepada orang ramai. 

    Sabda Rasulullah SAW, " Sesungguhnya amal kebajikan yang terus mengiringi seseorang ketika meninggal dunia adalah ilmu yang bermanfaat, anak yang dididik agar menjadi orang yang Soleh, mewaqafkan Al-Quran, masjid, membangun tempat penginapan bagi para musafir dan bersedekah".  [HR Ibnu Majjah]

Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. [Al-Baqarah : 262]

  • Ilmu yang bermanfaat~ Menuntut ilmu amat digalakkan dalam Islam tidak kira lah ilmu itu berbentuk keagamaan. ekonomi atau pun saintifik, asal saja ilmu itu bermanfaat dan boleh diaplikasikan dalam kehidupan. Lebih baik lagi jika ilmu itu disebarkan kepada orang ramai. Bagi mereka yang berilmu tetapi menyembunyikannya termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi, pahalanya hanya setakat di dunia sahaja.Jangan pula berbangga-bangga dengan ilmu yang kita ada kerana sesungguhnya ilmu itu adalah milik Allah SWT.
    Sabda Rasulullah SAW;" Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang dimulutnya seperti kuda) dengan kekang api neraka pada Hari Kiamat".  [HR Abu Daud & at-Tirmidzi]

  • Doa anak-anak soleh ~ Anak adalah merupakan amanah dari Allah yang tidak ternilai harganya. Ibu bapa mempunyai tanggung jawab yang besar untuk memikul amanah tersebut bagi menentukan corak kehidupan anak. Dengan didikan agama yang betul, insyaAllah anak -anak akan menjadi anak yang soleh, baik budi pekerti dan agamanya. 
    Islam memberikan petunjuk yang jelas dalam membentuk anak menjadi soleh dan bermanfaat kepada ibu bapa kelak di kemudian hari. Bermula dari anak dilahirkan di mana mereka dalam keadaan suci bersih dan berfitrah Islam hingga mereka menuju dewasa, ibu bapa lah berperanan membentuk akhlak mereka.

     Sabda Nabi Muhammad SAW," Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanya yang akan menyahudikannya  atau menasranikannya atau memajusikannya, sebagaimana haiwan melahirkan (mengeluarkan) haiwan, adakah kamu lihat padanya sebarang kecacatan (kekurangan/kelainan)". [HR Bukhari & Muslim]

     Oleh itu, didik lah anak dengan didikan yang baik serta mengamalkan ajaran Rasululah SAW. Tidak rugilah sesiapa yang mempunyai anak yang soleh dan solehah kerana anak-anak inilah yang akan senatiasa mendoakan kedua ibu dan bapanya setelah mereka meninggal dunia. Hanya kerana doa dari anak yang soleh, akan bertambah lah pahala ibu bapa meskipun mereka sudah tidak ada lagi di dunia ini. InsyaAllah, mudah-mudahan kita semua mendapat Rahmat Kasih SayangNya di dunia dan di Akhirat sana.

    




Sunday 18 November 2012

Kelebihan Sedekah


     Sabda Rasulullah SAW," Apabila meninggal dunia seorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang selalu mendoakannya". [HR Muslim & Ahmad] 

    Bersedekah, di antara amalan sunat yang dianjurkan dah digalakkan kepada umat Islam, tidak kira status atau taraf hidup mereka. Amalan mulia ini bukan sahaja digalakkan kepada golongan yang kaya dan berharta, tetapi mereka yang berpendapatan rendah juga disarankan melakukannya, mengikut kadar kemampuan masing-masing.

     Nabi Muhammad SAW bersabda; " Tangan yang di atas (orang yang memberi) itu adalah lebih baik dari tangan yang di bawah (yang menerima)".

     Soal bersedekah ini payah dilakukan kerana ia melibatkan satu sumbangan benda yang kita sayangi berbeza dangan amalan lain sepeti solat, berzikir dan lain-lain. Lebih-lebih lagi pulangan sedekah ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

     Dalam amalan bersedekah, kita perlu melakukannya dengan ikhlas, bukan disebabkan balasan nama atau sekadar bersedekah sahaja. Agar sedekah tidak menjadi sia-sia, Islam mengajarkan umatnya menyumbang dan bersedekah menepati erti 'sedekah' itu sendiri iaitu:-
Sedekahlah dengan barang yang disenangi penerima. Allah melarang bersedekah dengan benda yang tidak baik kerana bersedekah adalah ibadat dan tanda mensyukuri nikmat Allah.

     Hakikatnya, apabila kita bersedekah, harta kita bukan berkurang, malahan semakin bertambah. Ini lah janji Allah kepada mereka yang yang melaksanakannya.

    Rasulullah SAW bersabda;" Sedekah itu tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafanNya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya". [HR Muslim,ad-Darimi & Ahmad]

    Orang yang menghulurkan sedekah bukan sahaja mendapat doa dari orang yang menerima sedekah tersebut, malahan Malaikat juga turut mendoakan untuk mereka. 

    Allah meminta hambaNya untuk membeli Syurga. Jangan bakhil dengan harta. Jangan terpedaya dengan pujukan syaitan supaya menangguhkan niat kita untuk bersedekah. Bila Malaikat Maut sudah datang menjemput, ketika itu sudah terlewat untuk melakukannya.


Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya : " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh". [Al-Munafiqun :10]



Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya. [Al-Baqarah:261]


   Sabda Nabi Muhammad SAW," Sesungguhnya sedekah seorang Muslim itu memanjangkan umur dan mencegah dari mati dalam keadaan buruk dan Allah Ta'ala pula mengapuskan sikap sombong d
Sabda Nabi Muhammad SAW," Segeralah kamu bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah". [HR Al-Baihaqi]

   Allah menawarkan Syurga kepada mereka-mereka yang suka bersedekah. Terdapat satu pintu  dinamakan Babus Sadaqah (Pintu Sedekah), mudahan-mudahan dengan amalan sedekah yang kita lakukan, insyaAllah kita berpeluang memasuki Syurga dengan jalan tersebut... Ameen...