Tuesday 23 October 2012

Balasan Syurga Buat Pembela Anak Yatim


     Dalam Al-Quran ada disebut sebanyak 23 kali perkataan "yatim". Ini bermakna mereka yang berada dalam golongan yatim memerlukan perhatian dan pembelaan dari masyarakat untuk membolehkan anak2 yatim ini hidup dengan sempurna dan selesa seperti orang lain yang mempunyai penjaga, terutama ayah dan ibu.

     Al-Quran secara jelas menegaskan dalam beberapa ayatnya yang menyuruh kita berbuat baik kepada anak yatim. 

    Mengenai (urusan2 kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (masalah) anak2 yatim. Katakanlah ," memperbaiki keadaan anak2 yatim itu amatlah baiknya", dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara2 kamu (yang seagama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [Surah Al-Baqarah : 220]

      Daripada Abu Ummah diceritakan bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, " Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah swt, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah saw mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya." [Hadith riwayat Ahmad]

Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan).

Orang itu ialah orang yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim.

Dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin. 
[Surah Al-Ma'un : 1-3]

          Sesiapa yang berlaku tidak baik atau bersikap  zalim terhadap anak yatim pasti akan menerima balasan daripada Allah swt dan golongan ini dianggap antara satu ciri orang yang mendustakan hari akhirat.

     Besar sungguh pahala bagi sesiapa yang berbuat baik atau memelihara anak yatim. Dalam sebuah hadith daripada Ibnu Abbas meriwayatkan Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : " Orang yang memelihara anak yatim dalam kalangan umat Muslimin, memberinya makan dan minum pasti Allah swt akan masukkan ke dalam syurga  kecuali dia melakukan dosa yang tidak boleh diampun".   [Hadith riwayat Tirmidzi]

      Daripada Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda; "sebaik2 rumah di antara orang Islam adalah rumah yang didalamnya ada anak yatim yang diperlakukan dengan sebaik2nya; dan seburuk2 rumah adalah rumah yang di dalamnya ada anak yatim namun diperlakukan dengan buruk". [Hadith riwayat Ibnu Majah]

     Terdapat banyak hikmah apabila ada anak yatim dalam keluarga lebih2 lagi jika anak yatim itu dijaga dengan baik. Allah swt akan memberi rahmat berserta kasih sayangNya. Kita akan mendapat kebahagiaan dan ketenangan. Namun jika anak yatim dibawah peliharaan kita diperlakukan tidak baik, maka perbuatan itu akan menerima balasan daripada Allah swt.

Katakanlah (wahai Muhammad); " Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba2Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu demakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik2 Pemberi Rezeki". [Surah Saba' :39]

     Dari Abu Hurairah berkata, Rasulullah saw bersabda; " Tidak ada suatu pagi yang dlalui oleh seorang hamba kecuali dua malaikat turun. Satu daripadanya berkata; ' Ya Allah, berilah ganti orang yang berinfak'. Malaikat yang satu lagi berkata; 'Ya Allah, berilah kehancuran bagi orang yang kedekut' ". [ Hadith riwayat Bukahari & Muslim]

      Allah swt akan memberi pahala ganjaran yang setimpal pada kaum Muslimin yang membantu meringankan beban dengan memberi sumbangan berupa derma atau sedekah kepada anak2 yatim ini. Usah dikira banyak atau pun sedikit pemberian yang kita mampu berikan, yang penting keikhlasan hati kita memberi. Allah Maha Mengetahui apa yang tersembunyi di dalam hati setiap hamba2Nya.


     

No comments:

Post a Comment