Friday 23 November 2012

Hari Asyura


     Hari Asyura ialah hari yang ke sepuluh dalam bulan Muharram . Hari ini adalah hari yang sangat afdhal bagi kita umat Islam untuk berpuasa sunat selepas bulan Ramadan dan Hari Arafah. Puasa di Hari Asyura menghapuskan dosa setahun. Ini adalah merupakan anugerah dari Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang seringkali lalai dan alpa dan sering terdedah kepada silap dan salah. Allah menjadikan hari tersebut sebagai sebab untuk hamba-hambaNya memohon keampunan terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan dan bertaubat. Mereka yang berpuasa juga beroleh pahala yang berlipatganda sebagaimana sabda Rasulullah SAW;

     " Barangsiapa yang berpuasa pada Hari Asyura (10 Muharram) maka Allah SWT akan memberi kepadanya pahala 10,000 Malaikat dan barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah dan 10,000 pahala orang mati syahid. Dan barangsiapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah SWT akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat. Dan barangsiapa yang memberi makan kepada orang Mukmin yang berbuka puasa  pada Hari Asyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh umat Nabi Muhammad SAW yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka". [HR Ibnu Abbas ra]

     Terdapat perbezaan pendapat di antara para Ulama' berkaitan puasa sunat sama ada puasa pada hari ke 9 atau ke10. Pendapat sebahagian Ulama', sunat berpuasa hari ke9, hari ke10 dan hari ke11 berdasarkan hadis;

    "Berpuasalah kamu di Hari Asyura dan kamu bezakanlah dengan amalan orang-orang Yahudi. Oleh itu berpuasalah sehari sebelumnya dan sehari selepasnya". [HR Ahmad]

    Pendapat sebahagian lagi Ulama' ialah sunat berpuasa pada kedua-dua hari ke9 dan ke10 bulan Muharram berdasarkan hadis;

     "Pada hari Rasulullah SAW berpuasa Hari Asyura (hari ke10), para Sahabat berkata;' Ya Rasulullah, ia adalah hari yang disambut oleh orang-orang Yahudi dan Kristian, lalu Rasulullah SAW bersabda,'Tahun depan insyaAllah kita akan berpuasa pada hari ke9 jika aku masih hidup'. Sebelum tiba tahun depan, Rasulullah SAW wafat".

      Oleh itu, Imam Syafie ra, Ahmad dan sebahagian Ulama' berpendapat adalah sunat berpuasa pada kedua-dua hari ke9 dan ke10 agar tidak menyamai Yahudi dalam meraikan hanya satu hari saja. Adalah lebih afdhal berpuasa dikedua-dua hari sebagai langkah berhati-hati agar tidak terlepas kelebihan puasa Hari Asyura.

       Oleh itu, dengan kesibukan masa yang ada, kita terkadang  terlupa untuk menunaikan ibadat sunat ini. Mudah-mudahan tahun ini Allah beri kita kesempatan untuk berpuasa 10 Muharram. Selamat menyambut Hari Asyura dan semoga beroleh kenikmatan di dunia  dan akhirat.

No comments:

Post a Comment