Monday 19 November 2012

3 Amal Yang Pahalanya Tidak Terputus



     Allah  telah menjanjikan pahala bagi mereka yang sentiasa beriman & bertaqwa kepadaNya dengan  menjanjikan jaminan Syurga dan memberikan dosa dan api Neraka kepada mereka yang mengingkari segala perintah dan laranganNya.

    Apabila kita kembali mengadap Illahi, segala amalan kita di dunia akan terputus melainkan 3 amalan sahaja yang masih diterima Allah sebagai pahala kita di Akhirat nanti meskipun jasad kita sudah pun meninggalkan dunia yang fana' ini. Amalan-amalan tersebut adalah :-
  • Amal jariyah
  • Ilmu yang bermanfaat
  • Anak soleh yang mendoakan kedua ibu & bapanya

     Alhamdulillah, betapa tingginya nilai Rahmat dan Kasih Sayang Allah terhadap hamba-hambaNya. Masih diberi kita peluang memperolehi pahala meskipun kita sudah berada di alam Barzakh. Jadi, selagi hayat masih ada, rebutlah peluang keemasan ini.


  • Amal Jariyah~ satu perbuatan yang baik juga disebut waqaf iaitu menahan sesuatu yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan kemaslahatan serta kekal zatnya sebagai pendekatan diri terhadap Allah SWT. 
Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. ['Ali 'Imran : 92]

     Amal jariyah merupakan amalan yang terpuji di sisi Allah. Di antaranya ialah membina masjid, surau, sekolah, mewaqafkan al Quran, kitab-kitab Agama dan apa jua perkara yang memberi manfaat kepada orang ramai. 

    Sabda Rasulullah SAW, " Sesungguhnya amal kebajikan yang terus mengiringi seseorang ketika meninggal dunia adalah ilmu yang bermanfaat, anak yang dididik agar menjadi orang yang Soleh, mewaqafkan Al-Quran, masjid, membangun tempat penginapan bagi para musafir dan bersedekah".  [HR Ibnu Majjah]

Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. [Al-Baqarah : 262]

  • Ilmu yang bermanfaat~ Menuntut ilmu amat digalakkan dalam Islam tidak kira lah ilmu itu berbentuk keagamaan. ekonomi atau pun saintifik, asal saja ilmu itu bermanfaat dan boleh diaplikasikan dalam kehidupan. Lebih baik lagi jika ilmu itu disebarkan kepada orang ramai. Bagi mereka yang berilmu tetapi menyembunyikannya termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi, pahalanya hanya setakat di dunia sahaja.Jangan pula berbangga-bangga dengan ilmu yang kita ada kerana sesungguhnya ilmu itu adalah milik Allah SWT.
    Sabda Rasulullah SAW;" Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang dimulutnya seperti kuda) dengan kekang api neraka pada Hari Kiamat".  [HR Abu Daud & at-Tirmidzi]

  • Doa anak-anak soleh ~ Anak adalah merupakan amanah dari Allah yang tidak ternilai harganya. Ibu bapa mempunyai tanggung jawab yang besar untuk memikul amanah tersebut bagi menentukan corak kehidupan anak. Dengan didikan agama yang betul, insyaAllah anak -anak akan menjadi anak yang soleh, baik budi pekerti dan agamanya. 
    Islam memberikan petunjuk yang jelas dalam membentuk anak menjadi soleh dan bermanfaat kepada ibu bapa kelak di kemudian hari. Bermula dari anak dilahirkan di mana mereka dalam keadaan suci bersih dan berfitrah Islam hingga mereka menuju dewasa, ibu bapa lah berperanan membentuk akhlak mereka.

     Sabda Nabi Muhammad SAW," Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanya yang akan menyahudikannya  atau menasranikannya atau memajusikannya, sebagaimana haiwan melahirkan (mengeluarkan) haiwan, adakah kamu lihat padanya sebarang kecacatan (kekurangan/kelainan)". [HR Bukhari & Muslim]

     Oleh itu, didik lah anak dengan didikan yang baik serta mengamalkan ajaran Rasululah SAW. Tidak rugilah sesiapa yang mempunyai anak yang soleh dan solehah kerana anak-anak inilah yang akan senatiasa mendoakan kedua ibu dan bapanya setelah mereka meninggal dunia. Hanya kerana doa dari anak yang soleh, akan bertambah lah pahala ibu bapa meskipun mereka sudah tidak ada lagi di dunia ini. InsyaAllah, mudah-mudahan kita semua mendapat Rahmat Kasih SayangNya di dunia dan di Akhirat sana.

    




No comments:

Post a Comment